My Followers

Sunday, March 16, 2008

Pelajar perlu RM18,000 rawat tulang bengkok



KUALA LUMPUR: Pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Enam, Sungai Besar, Selangor, Fatin Firzanah Mohamad Tani (gambar), 11, yang menghidap penyakit tulang belakang bengkok mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan dan rawatan kira-kira RM18,000.

Bapanya, Mohamad Tani Abd Mutalib, 47, berkata pada peringkat awal beliau tidak dapat mengesan sebarang kelainan pada belakang badan anaknya kerana selalu memakai pakaian yang longgar dan kelihatan seperti kanak-kanak normal lain.

Beliau berkata, penyakit itu dikesan isterinya, Tairus Mat Zainuddin, yang secara tidak sengaja terlihat belakang badan Fatin Firzanah ketika menyalin pakaian, setahun lalu dan berasa hairan apabila melihat belakang badan anaknya bengkok.

Katanya, Fatin Firzanah dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Telok Intan, Perak dan doktor mengesahkannya menghidapi penyakit 'adolescent skoliosis idiopatik' atau masalah pertumbuhan tulang tidak normal serta dikehendaki merujuk kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

"Ketika ini, dia mengalami masalah tulang belakang bengkok 51 darjah selain memerlukan pemasangan implan dan membuat pembedahan bagi meluruskan kembali badannya.

"Doktor memberitahu pembedahan ini dijangka 99 peratus berjaya dan perlu dilakukan segera bagi mengelak tulang belakangnya menjadi semakin bengkok hingga menimbulkan pelbagai komplikasi, Katanya, di sini, semalam.

Beliau ditemui di pejabat Berita Harian ketika menemani Fatin Firzanah dalam kunjungan ke sini bertujuan memohon bantuan orang ramai bagi membiayai pembedahan berkenaan.

Katanya, pendapatan sebagai mekanik sebanyak RM1,200 sebulan tidak mencukupi, ditambah pula isterinya tidak bekerja.

Beliau berkata, bebanan kewangan akan bertambah apabila beliau perlu membawa anaknya ke HUKM kerana perlu menyewa kereta selain tidak mendapat gaji untuk hari berkenaan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghantar cek berpalang kepada Berita Harian (nama Fatin Firzanah di belakang cek), ke alamat Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

Sumber: http://www.bharian.com.my

Tarikh : 16 Mac 2008

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...