Damaipeace said: What is wrong with the PM lately? Can he think rationally and give other alternatives than the permission from family members? So disappointed with you Mr PM!
Kuala Lumpur, 15 Mac 2006:
DEWASA ini ramai orang bukan Islam memeluk agama Islam. Keadaan ini mungkin bukan hanya berlaku di Malaysia, malah di seluruh dunia termasuk Eropah dan Amerika Syarikat.
Statistik saudara baru yang memeluk Islam meningkat dari sehari ke sehari dan Malaysia tidak ketinggalan hebatnya dengan banyak badan kerajaan serta bukan kerajaan membantu kerajaan ke arah penghayatan agama Islam.
Pertukaran agama seorang bukan Islam kepada Islam adalah satu penghijrahan memberi kesan besar kepada orang yang memeluk Islam itu sendiri dan keluarganya.
Keluarga bersikap terbuka akan reda dan menghormati keputusan orang yang memeluk Islam itu tetapi ada juga keluarga tidak dapat menerima hakikat bahawa saudara mereka mendapat hidayah Allah SWT.
Golongan ini akan melakukan apa saja bagi mengembalikan saudara mereka kepada agama asal.
Memeluk Islam memerlukan pengkajian teliti, keimanan yang jitu dan boleh dimantapkan sehingga mencapai tahap tidak dapat digugat.
Berdasarkan nas, kita akan dapati bahawa ada beberapa kejadian pada zaman Rasulullah SAw yang memberi gambaran bahawa seseorang yang memeluk Islam itu boleh memilih untuk mengisytiharkannya secara terang-terangan tanpa sebarang ketakutan.
Kisah Saidina Umar yang mengisytiharkan pengIslaman di hadapan ketua kabilah Quraisy umpamanya adalah contoh bahawa seseorang itu boleh mengisytiharkan keIslaman serta memberitahu sanak saudara mereka.
Mereka hanya mampu merenung sinis Saidina Umar tanpa dapat mencederakannya kerana akur siapakah Saidina Umar, sifat dan kekuatannya. Disebabkan itulah orang lain menjadi berani untuk mengisytiharkan pengIslaman mereka.
Namun ada juga beberapa kejadian keIslaman seseorang itu tidak dimaklumkan kepada keluarga mereka atas sebab tertentu.
Ada yang memilih untuk menyembunyikan keimanannya kerana ada masalah atau kepentingan tertentu seperti lelaki dari keluarga Firaun seperti dinyatakan dalam surah al-Mukmin, ayat 28 yang bermaksud: “Dan berkatalah seorang lelaki yang beriman dari keluarga Firaun yang menyembunyikan keimanannya. Apakah akan kamu bunuh seorang lelaki yang mengatakan Tuhanku ialah Allah? Padahal dia telah datang kepada kamu dengan pelbagai keterangan dari Tuhanmu….”
Dengan tidak disangka Firaun, ahli keluarganya yang terdekat beriman kepada Allah SWT walaupun selama itu dia menyembunyikan keimanannya daripada pengetahuan Firaun.
Kisah Abdullah bin al-Salam, seorang rahib Yahudi yang terkenal juga boleh dijadikan panduan.
Pada hari pertama Rasulullah SAW menjejakkan kakinya di bumi Madinah selepas berhijrah, Abdullah bin al-Salam pergi berjumpa baginda bagi memastikan kebenaran risalah yang dibawa baginda.
Selepas meneliti ajaran yang dibawa Nabi Muhammad, Abdullah bin al-Salam memeluk Islam kerana percaya dengan kebenaran Rasulullah, namun beliau meminta izin menyembunyikan pengIslamannya.
Beliau khuatir keselamatannya diancam orang Yahudi memandangkan beliau adalah tokoh rahib Yahudi terkenal. Rasulullah SAW membenarkan permohonan Abdullah bin al-Salam untuk menyembunyikan keimanannya itu.
Kisah yang dinyatakan di atas menunjukkan umat Islam sebenarnya diberi pilihan sama ada untuk mengisytiharkan pengIslaman atau menyembunyikannya dengan mengambil kira faktor keselamatan mereka.
Seseorang yang memeluk Islam sepatutnya mempunyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada mengisytiharkan atau menyembunyikan keimanannya.
Jika kita memaksa seseorang itu untuk memberitahu orang lain mengenai keIslaman mereka, maka sebenarnya kita mengganggu hak asasi mualaf dan ini akan menyekat haknya untuk membuat pemilihan sedemikian.
Hak merahsiakan keimanan juga bersesuaian dengan kehendak hukum syarak kerana orang yang baru memeluk Islam ini rata-ratanya iman mereka masih belum kukuh.
Sekiranya mereka membuat pengisytiharan memeluk Islam, sudah tentu keluarga akan datang memujuk agar kembali ke agama asal dan pada ketika iman belum mantap, mereka mungkin goyah dengan desakan dan pujukan keluarga.
Menyembunyikan keimanan bukanlah untuk selama-lamanya kerana apabila iman sudah mantap, tiada gangguan keluarga dan mereka bersedia mengamalkan ajaran Islam secara terbuka, maka boleh mengisytiharkan pengIslaman secara terbuka.
Kita juga mungkin pernah membaca mengenai penderitaan saudara baru yang disisihkan keluarga walaupun Islam mengajar bahawa hubungan kekeluargaan itu tidak putus walaupun berlainan agama.
Atas sebab ini maka ada kebaikannya mualaf menyembunyikan keimanan mereka bagi mengelak perkara tidak baik.
Pilihan sama ada memberitahu atau tidak hendaklah menjadi pilihan orang yang masuk Islam itu sendiri dan mereka tidak boleh dipaksa.
Undang-undang tidak seharusnya campur tangan dalam perkara seperti ini sekiranya mereka yakin bahawa adalah lebih baik memaklumkan pengIslaman kepada keluarga, maka pilihan itu hendaklah dihormati.
Begitu juga apabila mereka berpandangan bahawa adalah lebih baik menyembunyikan pengIslaman itu, maka pandangan ini juga hendaklah dihormati.
Orang yang mengetahui sama ada sesuai atau tidak memberitahu keluarga ini adalah orang yang memeluk Islam itu sendiri kerana mereka mungkin mempunyai strategi dalam melakukan dakwah kepada ahli keluarganya.
Ada juga insiden orang yang baru memeluk Islam diajak kembali ke agama asal atas alasan tertentu dan jika keimanan mereka ketika itu goyah, maka mereka akan terikut ajakan yang akhirnya kufur kembali.
Oleh itu, kita perlu memikirkan mekanisme sesuai bagi memaklumkan kepada keluarga yang memeluk Islam agar keselamatan fizikal dan aqidah saudara baru ini terpelihara.
Mungkin Majlis Agama Islam boleh mengambil peranan sebegini dan menyatakan kepada keluarga mereka dengan izin daripada pemohon, selain memastikan keselamatan kepada saudara baru.
Dengan cara ini maslahah dan kepentingan akan dapat memainkan peranannya sebagai salah satu sumber hukum selain daripada al-Quran dan sunnah.
INTIPATI:
Keluarga bersikap terbuka dan hormati keputusan orang yang memeluk Islam tetapi ada juga keluarga tidak dapat menerima hakikat saudara mereka mendapat hidayah Allah SWT.
Ada beberapa kejadian keIslaman seseorang tidak dimaklumkan kepada keluarga mereka atas sebab tertentu.
Umat Islam diberi pilihan sama ada untuk mengisytiharkan pengIslaman atau menyembunyikannya dengan mengambil kira faktor keselamatan.
Seseorang yang memeluk Islam sepatutnya mempunyai hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan untuk memilih sama ada mengisytiharkan atau menyembunyikan keimanannya.
Hak merahsiakan keimanan bersesuaian dengan kehendak hukum syarak kerana iman orang yang baru memeluk Islam kebiasannya belum kukuh.
Tamat
(Sumber: Berita Harian 15 Mac 2006)
0 comments:
Post a Comment